Aku kurang bersyukur...

bila dengar cerita teman. Memang ceritanya biasa-biasa saja. Cerita susah senang zaman kanak-kanak. Cerita ibu bapa bercerai-berai atau kawin lagi. Cerita ibu yang tak ingin hidup kerana ayah kawin sembunyi. Cerita kerja sambilan di cuti sekolah untuk menampung sara hidup. Cerita main di sawah bersama lintah dan pacat. Cerita panjat pokok dan curi buah. Cerita asah pensel dengan pisau. Cerita pakai kasut sekolah sampai haus. Cerita budak nakal dan ikut kepala sendiri.

Aku kurang bersyukur bila sambil mendengar aku mencelah. Aku tak sempat merasa itu semua. Aku menyesal tak dapat melaluinya. Aku kata semua masalah itu membuat seseorang menjadi berani dan cekal. Aku kata aku dulu di jaga macam dalam kaca. Penuh teliti dan dilindungi. Aku kata lagi aku kurang kasih sayang sebab banyak pengalaman hidup aku tak lalui.

Memang aku kurang bersyukur. Aku tak bersyukur ibu bapa masih bersama. Aku tak bersyukur abang dan kakak masih mahu menjaga. Walaupun aku dah berpunya. Aku tak bersyukur masa zaman kanak-kanak cukup ceria. Apa dijanji semua dikota. Aku tak bersyukur semasa meningkat dewasa tak perlu bekerja. Mencari wang membantu biaya. Aku tak bersyukur aku boleh tinggal di rumah batu-bata. Pagi-pagi tak perlu timba air telaga.

Tapi, alhamdulillah. Aku bersyukur kerana ada teman-teman untuk bercerita. Aku bersyukur kerana dapat pengalaman melalui mereka. Aku bersyukur kerana sudah tahu ilmu yang perlu ditambah di dada. Dan aku bersyukur kerana sekarang aku sudah sedar untuk bersyukur.

0 comments: